MAJLIS PENYERAHAN DAN PERASMIAN PROJEK PASAR BESAR PEKAN DABONG, PASAR MANIK URAI BARU DAN DATARAN TAMAN SRI GUCHIL, KUALA KRAI, KELANTAN

Published in Recent Activity

 

 

DABONG I 26 Disember 2017 - Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) dengan kerjasama Majlis Daerah Dabong dan Jabatan Penerangan Kuala Krai telah berjaya menyempurnakan majlis penyerahan dan perasmian bagi tiga buah projek di bawah peruntukan BP. 1 Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan  (KPKT). 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed, selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan. Beliau melahirkan rasa berbesar hati kerana ketiga-tiga projek yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan telah berjaya memberikan manfaat secara langsung kepada penduduk di Pekan Dabong, Manik Urai Baru dan Bandar Kuala Krai. Pasar Besar Dabong yang telah uzur dan mengalami kerosakan selepas banjir tahun 2014 kini telah berubah wajah setelah dibaikpulih dan dinaiktaraf sekaligus menyediakan ruang niaga yang lebih selesa bagi 18 pemilik rumah kedai dan 20 peniaga kecil. Begitu juga pasar Manik Urai Baru mengandungi 8 unit kiosk dan 2 buah rumah kedai yang terletak di lokasi strategik di Jalan Utama Kuala Krai ke Gua Musang dijangka bakal menjadi pemangkin pembangunan di kawasan sekitarnya. Sebagai tambahan, pihak kerajaan juga telah menyediakan 74 lot parking kenderaan dan 36 lot parking motorsikal di taman Sri Guchil untuk kemudahan penduduk di sekitar Bandar Kuala Krai. 

YB. Dato’ Ramzi Bin Ab Rahman, ADUN Dabong di dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan di atas kesudian YB Dato' Sri Mustapa hadir untuk merasmikan projek di Dabong pada kali ini. Ujar beliau, Dato' Pa merupakan pemimpin yang mengamalkan kepimpinan terbuka dan tidak sesekali wujud istilah pilih kasih kepada rakyat negeri ini. Beliau juga memuji kerjasama erat di antara kerajaan persekutuan dan negeri di dalam menyampaikan pembangunan kepada rakyat Dabong. Beliau turut memberi jaminan bahawa hubungan baik ini akan diteruskan pada masa akan datang dan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Dabong, beliau akan sentiasa menyokong semua usaha pembangunan di Dabong samada daripada pihak berkuasa tempatan mahupun persekutuan.

 

Seterusnya majlis diteruskan dengan sesi menandatangani dokumen penyerahan di antara Pengarah JPPK, Dato' Hj Yahaya Bin Mamat dan Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Krai ,YM. Haji Tengku Azmi Bin Tengku Jaafar.

 Majlis diakhiri dengan jamuan rakyat pada jam 3 petang.