MAJLIS PENYERAHAN SEPARA PROJEK MEMBINA SEMULA GERAI DI PANTAI SRI TUJUH, TUMPAT, KELANTAN

Published in Recent Activity

 

TUMPAT  29 APRIL 2018 - Para peniaga di Pantai Sri Tujuh kini menarik nafas lega apabila bangunan gerai lama yang terbakar pada 2016 kini telah berubah wajah dengan bangunan baharu yang lebih luas dan selesa. Projek membina semula gerai ini dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan di bawah peruntukan BP. 1 Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Majlis penyerahan separa blok bangunan yang gerai telah disempurnakan oleh Ir Zailan Bin Ab Rahman, Timbalan Pengarah (Teknikal) JPPK bersama wakil Majlis Daerah Tumpat, Hazlisam bin Daud dengan disaksikan oleh calon Adun Pengkalan Kubor, Hj Mat Razi Bin Mat Ail.

Projek bernilai keseluruhan RM 476,280.00 itu mengandungi 2 blok bangunan yang menempatkan 8 unit gerai dan kini blok pertama telahpun sedia untuk beroperasi. Pembinaan fasa kedua akan dimulakan sebaik sahaja para peniaga berpindah ke blok bangunan baharu.

Hj Mat Razi dalam ucapan ringkasnya meminta pihak Majlid Daerah menghargai sumbangan kerajaan persekutuan yang tidak putus - putus dalam membangunkan kawasan pantai Sri Tujuh dan Pengkalan Kubor. Beliau juga mengharapkan agar satu identiti khusus diperkenalkan kepada para peniaga di gerai tersebut bagi memberikan imej yang lebih menarik terutama kepada para pelancong yang datang ke pantai peranginan ini.

Majlis diakhiri dengan jamuan ringan pada jam 4 petang.